Thursday, May 19, 2011

Sinopsis Telefilem - PENDAM



Kehidupan yang sederhana, aman dan berkeluarga menjadi matlamat bagi semua golongan masyarakat. Saling tolong-menolong dalam sesuatu komuniti menjadi pegangan hidup bermasyarakat di Malaysia. Kehidupan masyarakat melayu yang sederhana terutamanya di negeri pantai timur iaitu negeri Terengganu tidak lari dari kitaran hidup klasiknya. Tolong-menolong dan berkerjasama menjadi pegangan hidup masyarakat di sana. Penggunaan pengangkutan bot penambang, beca dan juga kereta sewa (teksi) yang masih digunakan sehingga kini menampakkan satu kehidupan yang klasik dan masih diguna pakai oleh masyarakat di sana. Cerita “Pendam” ini mengungkit kisah kehidupan segelintir ahli masyarakat tersebut.

Drama ini mengisahkan tentang keretakan persahabatan antara Mak Eton dan Mak Mah yang bermula sejak 25 tahun dahulu berpunca apabila lelaki idaman Mak Eton (Samad) mengahwini Mak Mah. Samad yang juga seorang penarik beca, terpikat dan telah mengahwini Mak Mah setelah membantu Mak Mah yang mengalami satu kemalangan kecil di kampung mereka.

Kini setelah 25 tahun berlalu. Mak Mah dikurniakan seorang anak bernama Mail dan suaminya Samad telah meninggal dunia ketika waktu Mail masih kecil. Mak Eton juga sudah berkahwin dengan rakan Samad dan dikurniakan 2 orang anak perempuan yang bernama Milah dan Ita namun Mak Eton memendam perasaan dendamnya pada Mak Mah berlarutan hingga sekarang. Mak Eton turut membenci pada Mail anak Mak Mah. Dia juga menghalang kedua-dua anak perempuannya Milah dan Ita berbaik-baik dengan Mak Mah dan Mail.

Mail yang seorang penarik beca berkawan baik dengan Milah sejak dari kecil dan mula mempunyai perasaan saling mencintai cuma tidak berani meluahkan bila mengenangkan masaalah perhubungan ibu mereka. Mail juga sering menghantar Milah ke tempat kerja. Perselisihan faham Mak Eton dengan Mak Mah sering menjadi tanda tanya kepada Mail, Milah dan Ita. Mereka masing-masing cuba bertanya pada ibu mereka tentang punca keretakan persahabatan ini, tetapi kedua ibu mereka memendamnya dan sering berdalih dan kadang kala Ita dan Milah akan dimarahi oleh Mak Eton bila bertanyakan hal ini. Sehinggalah pada suatu malam Mail mendesak Mak Mah menceritakan hal yang sebenarnya dan Mak Mah menceritakan apa yang berlaku 25 tahun sebelum itu.

Setelah Mail mengetahui kisah sebenar punca yang menjadi perselisihan faham antara ibunya dengan Mak Eton, dia berazam dan bercadang dengan Milah untuk menyatukan kembali hubungan kedua ibu mereka dan ada berbincang bagaimana menaganinya masaalah ini, tetapi mereka akhirnya menemui jalan buntu.

Pada suatu malam ketika Pak Hassan dan Mak Eton tiada di rumah kerana mendapat panggilan kecemasan keluarga mereka mendapat kemalangan dan berada di hospital, suatu kejadian buruk telah berlaku di rumah Mak Eton. Dua orang perompak telah memecah masuk ke rumah Mak Eton untuk tujuan merompak telah menyerang Milah dan Ita yang berada di rumah ketika itu. Kejadian itu telah disedari oleh Mail dan rakannya Mamat ketika melaui kawasan rumah Pak Hassan lalu Kedua-dua orang perompak itu akhirnya dapat ditangkap atas keberanian Mail dan juga pertolongan penduduk kampung.

Nantikan kesudahan cerita ini dalam Telefilem "PENDAM". InsyaAllah akan berada di layar tv anda nnt....

Karya,
Joe Zainal

.

No comments:

Post a Comment